Yang di-Pertuan Agong dan timbalan Sumpah perlembagaan jawatan di Malaysia

Perkara 37 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan sebelum menjalankan fungsi baginda. Sumpah jawatan tersebut telah dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Keempat dan haruslah dilafazkan dan ditandatangani di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau semasa ketiadaannya dengan kehadiran hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada); dan sumpah itu hendaklah diakusaksikan oleh dua orang yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Bagi Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selain fungsi yang boleh dijalankan bagi maksud memanggil Majlis Raja-Raja bermesyuarat, baginda juga hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan seperti yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Keempat di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada).

Kedua-dua lafaz sumpah tersebut turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Keempat. [1]

Lafaz sumpah

Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong mengikut Bahagian I Jadual Keempat:

"Kami .......................................................... ibni .............................................. Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:


Wallahi: Wabillahi: Watallahi:

maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri."

Sumpah Jawatan bagi Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut Bahagian II Jadual Keempat:

"Kami ..................................................... ibni ....................................... yang telah dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:


Wallahi: Wabillahi: Watallahi:

dan dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan tanggungan Kami yang telah ditetapkan dan yang akan ditetapkan pada suatu masa ke suatu masa yang ke hadapan ini oleh undang-undang dan Perlembagaan Negeri Malaysia."